suria

Remaja Kelahiran Malaysia Wakili Brugge Bertemu Manchester United Pada Rabu

SEORANG remaja kelahiran Kuching, Sarawak merupakan antara tonggak penting pasukan Brugge ketika menerima kunjungan Manchester United dalam saingan pra-kelayakan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada awal pagi Rabu.

Dion Cools, 19, yang dibesarkan di Belgium akan diturunkan Brugge untuk menghadapi cabaran daripada bintang bola sepak seperti Wayne Rooney, Juan Mata dan Bastian Schweinsteiger dalam perlawanan itu.

Cools dilahirkan di Sarawak sebelum ibunya yang merupakan warga Malaysia mengikut bapanya pulang ke Belgium.

Menurut Cools, dia dan rakan sepasukan kini bersedia untuk menghadapi perlawanan itu dan tidak rela ditewaskan di laman sendiri.

"Ini merupakan perlawanan yang kami nantikan, tetapi kami harus bersedia untuk perlawanan ini dan seterusnya. Saya sangat teruja dan berharap dapat beraksi sebagai kesebelasan utama," katanya ketika ditemubual The Straits Time Singapura menerusi email.

Cools baru menyertai Brugge yang merupakan juara 13 kali liga Belgium bulan lalu selepas mempamerkan aksi memberangsangkan ketika mewakili  Oud-Heverlee Leuven (kelab Belgium).

Dia memulakan aksi pertama dalam UCL sebagai pemain gantian pada bulan lalu ketika Brugge tewas 2-1 kepada Panathinaikos 

Bagaimanapun dalam perlawanan timbal-balik di Belgium, Cools yang diturunkan sebagai pemain utama berjaya menjaringkan satu gol (video bawah) dan membantu rakan sepasukan menghasilkan gol kedua untuk menjadikan kelabnya menang 3-0 (agregat 4-2).

Dalam perlawanan penting pada pagi Rabu, Cools yang merupakan pertahanan kanan akan diberi tugas menjaga penyerang Belanda iaitu Memphis Depay daripada menjaringkan gol.

"United mempunyai pemain bertaraf dunia dan kami sebagai sebuah pasukan akan memastikan mereka semua 'diam'.

"Kami akan menghormati mereka tetapi tidak berlebihan. Kami akan menggunakan kekuatan yang ada untuk bersaing," katanya yang menjadikan nasi ayam dan laksa Sarawak sebagai makanan paling digemari.

Cools juga berharap dapat mencontohi, Marouane Fellaini dan Adnan Januzaj yang berhijrah daripada liga Belgium ke Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Saya mahu menjadi terbaik seperti Fellaini dan Januzaj.

"Setiap pemain ingin beraksi dalam EPL dan ia merupakan sasaran masa depan. Laluan ke arah itu masih jauh dan saya perlu bekerja kuat untuk mendapatkannya," kata pemain Bawah-19 Belgium itu.

Ditanya mengenai kepulangan ke Malaysia, remaja itu menjawab," sama seperti nama keluarga saya, bertenang (Cools)."

"Secara realistiknya, sasaran saya yang seterusnya ialah mewakili skuad Bawah-21 Belgium. Untuk masa depan saya sama ada Malaysia atau Belgium, masa akan menentukan," katanya kepada The Straits Times/Asia News Network.



Brugge, Manchester United

Artikel Lain