KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei meneruskan kecemerlangan untuk memburu gelaran keempat kejohanan apabila mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong yang berlangsung di Hong Kong Coliseum, Rabu. Bekas pemain nombor satu dunia itu menewaskan pemain pilihan kelapan Tommy Sugiarto dari Indonesia 21-16 dan 21-15 dalam 40 minit. Pemain berusia 33 tahun yang kini berada di ranking kesembilan dunia bakal berdepan Marc Zwiebler dari Jerman pada pusingan kedua, Khamis. Beliau dijangka mengulangi pertemuannya dengan pemain nombor satu dunia Chen Long pada peringkat suku akhir sekiranya pemain dari China itu berjaya menundukkan pemain Thailand, Boonsak Ponsana pada pertemuan Khamis. Chong Wei pernah menyandang gelaran juara Terbuka Hong Kong pada 2009, 2010 dan 2013. Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara Chong Wei Feng terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan pemain tuan rumah Hu Yun, 21-17, 12-21 dan 21-15 untuk mara ke pusingan kedua. Wei Feng akan bertemu pemain China, Wang Zheming yang mengejutkan pemain kedua dunia, Jan O Jorgensen dari Denmark 21-5 dan 21-19. Bagaimanapun, peserta tunggal wanita negara Tee Jing Yi gagal mengikut rentak rakan senegara apabila terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada pemain perseorangan wanita tuan rumah Yip Pui Yin 21-14 dan 21-19. Sementara itu, beregu utama negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong tidak mempunyai masalah untuk mengalahkan pasangan Taiwan, Lin Chia Yu/Wu Hsiao Lin 21-18 dan 21-11 untuk mara ke pusingan kedua. Pasangan negara akan berdepan beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun/Shin Baek Cheol yang menewaskan Huang Po Jui/Tien Tzu Chieh dari Taiwan 16-21, 22-20 dan 21-11. Nasib berbeza bagi dua lagi pasangan beregu bebas negara yang tidak berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Hoon Thien How/Lim Khim Wah dan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong. Hoon/Lim tewas kepada pasangan China Wang Yilv/Zhang Wen 18-21 dan 17-21 manakala Koo/Tan pula berjaya menundukkan Liao Min Chun/Tseng Min Hao dari Taiwan 21-15 dan 21-17. Koo/Tan pula akan bertemu pilihan keenam Chai Biao/Hong Wei dari China. - BERNAMA