KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih renang negara, Paul Birmingham bakal melakukan rombakan kecil dalam barisan atletnya bagi menghadapi Sukan SEA 2017 di sini. Tanpa mendedahkan barisan perenangnya, jurulatih berasal dari Australia itu berkata beliau akan mengekalkan beberapa pemenang pingat Sukan SEA 2015 selain memberi peluang kepada perenang muda yang berpotensi untuk membuktikan kemampuan mereka. "Ketika kita memberi fokus kepada Sukan SEA 2017, saya juga menumpukan kepada program Sukan Asia 2018 (di Jakarta) dengan tumpuan kepada beberapa perenang muda. "Sukan SEA adalah antara kejohanan utama dan ia juga satu langkah sebelum meneruskan program menghadapi Sukan Asia. "Kita juga akan membawa beberapa perenang ke Victoria, Australia untuk menyertai pertandingan pada Januari bagi memastikan mereka kekal cergas dan kompetitif," kata Birmingham. Menurutnya, kejayaan yang ditunjukkan perenang yang layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, Ogos lepas adalah hasil penyertaan dalam pelbagai kejohanan tempatan dan antarabangsa. Sebagai rekod, dua perenang negara, Welson Sim dan Phee Jinq En, layak secara merit ke Sukan Olimpik tetapi gagal melakukan sebarang impak di temasya sukan empat tahun sekali itu. Birmingham berkata skuad negara akan menyertai beberapa pertandingan termasuk Kejohanan Peringkat Umur Nasional Singapura (14-19 Mac 2017) dan Kejohanan Terbuka Malaysia pada pertengahan tahun sebagai antara persiapan menghadapi Sukan SEA. Pada Sukan SEA 2015 di Singapura, skuad negara meraih tiga pingat emas, empat perak dan empat gangsa.-Bernama