suria

Persahabatan Antarabangsa Bikin Mourinho Susah

Jose Mourinho

PENGURUS Manchester United Jose Mourinho menentang perlawanan persahabatan antarabangsa.

Ini kerana, disebabkan perlawanan tersebut, senarai pemainnya yang tidak dapat turun bermain dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang West Bromwich Albion, Sabtu ini semakin bertambah.

Sehingga kini, seramai lima pemain utama United tidak akan beraksi, dengan yang terbaru, dua pemain beknya, Chris Smalling dan Phil Jones cedera.

Jones mengalami kecederaan pada sesi latihan sebelum perlawanan persahabatan untuk berdepan Jerman manakala Smalling dikeluarkan daripada pasukan, juga kerana kecederaan dalam perlawanan.

Dua pemain ini juga telah terlepas untuk beraksi dalam kelayakan Piala Dunia ke atas Lithuania.

Mourinho sebelum ini sudah kehilangan Paul Pogba yang masih menjalani proses pemulihan, serta dan Zlatan Ibrahimovic dan Ander Herrera yang sedang menjalani hukuman.

Kehilangan dua bek tersebut menyebabkan Mourinho susah dan 'pening kepala'.

Dia secara terbuka berkata perlawanan persahabatan pasukan kebangsaan amat menyusahkan kelab-kelab kerana pemainnya berisiko mengalami kecederaan.

“Saya sangat menentang idea perlawanan persahabatan. Pertandingan itu tidak masuk akal jika dilakukan menjelang perlawanan kejohanan.

“Beberapa minggu sebelum Piala Eropah atau beberapa minggu sebelum Piala Dunia, masuk akal.

"Tapi pertandingan persahabatan yang dibuat di tengah-tengah musim, digabung dengan peringkat kelayakan (Piala Dunia), saya fikir itu tidak masuk akal," katanya.

Mourinho kini berjuang untuk menempatkan United di kedudukan empat teratas untuk layak ke Liga Juara-Juara.

“Dibandingkan dengan pertandingan lain, ia (persahabatan) bukan pertandingan besar dan saya tidak menggemarinya. Tapi saya tak mahu terlalu mengkritik kerana suatu masa saya mungkin berada di sana (jurulatih kebangsaan),” kata Mourinho.


Artikel Lain