suria

Ronaldo Terharu Namanya Diabadi Di Lapangan Terbang Madeira

- Lapngan Terbang Cristiano Ronaldo sebelum ini bernama Lapangan Terbang Madeira. -fotoAFP

NAMA bintang bola sepak Real Madrid Cristiano Ronaldo telah diambil menjadi nama lapangan terbang yang terletak di kampung halamannya, Madeira, Portugal.

Lapangan tersebut secara rasmi dinamakan sebagai 'Aeroporto Internacional da Madeira, Cristiano Ronaldo'.

Pemberian nama itu dibuat oleh Ketua Daerah setempat Miguel Albuquerque apabila Ronaldo berjaya membawa Portugal meraih gelaran juara Piala Eropah 2016 setelah menewaskan Perancis 1-0.

Acara perasmian nama Lapangan Terbang Cristiano Ronaldo berlangsung pada Rabu, dihadiri orang-orang kenamaan di Portugal, termasuklah Presiden Marcelo Rebelo de Sousa serta Perdana Menteri Antonio Costa.

Di lapangan terbang itu juga dipamerkan sebuah patung Ronaldo yang dibuat daripada tembaga.

-fotoAFP

Pemain yang turut dikenali dengan CR7 itu mengaku terharu dengan pengormatan luar biasa yang diberikan kepadanya.

Bagaiamanapun, Ronaldo yang turut hadir ketika acara perasmian secara terbuka berkata dia sama sekali tidak meminta namanya diabadikan di lapangan terbang di pulau kelahirannya itu.

“Terima kasih atas apa yang berlaku dan kerana memberikan penghormatan kepada saya,” kata Ronaldo memetik Goal.

“Melihat nama saya berada di lapangan terbang ini merupakan sesuatu yang sangat istimewa. Semua tahu saya sangat bangga dengan negara saya, terutama tempat kelahiran saya," katanya.

Sebelum ini timbul kontroversi mengenai nama lapangan terbang di Pulau Madeira apabila terdapat pihak yang tidak bersetuju ia dinamakan sempena nama Ronaldo.

Mereka menganggap tindakan itu terlalu berlebihan kerana Ronaldo bukan tokoh bangsa yang memperjuangkan kepentingan Madeira.

“Saya tahu setengah orang tidak setuju dengannya dan setengah orang lagi yang tak hadir di sini juga berasa gembira dengan saat-saat ini,” ujar pemain 32 tahun itu.

“Saya akan berusaha keras mengharumkan nama Portugal dan khususnya Madeira dengan penuh semangat dan pengorbanan,” katanya.

Artikel Lain