ARSENE Wenger berkemungkinan besar terus kekal dalam pentas Liga Perdana Inggeris meskipun meninggalkan Arsenal. Ini berikutan Everton cuba meyakinkannya supaya berhijrah ke Goodison Park. Pengendali kelahiran Perancis itu mengumumkan dia akan meninggalkan The Gunners selepas 22 tahun bersama pasukan itu. Wenger masih menyimpan hasrat untuk kekal dalam pengurusan dan dia turut menerima tawaran bagi meneruskan peranannya sebagai jurulatih dan pengarah sukan. Menurut laporan Daily Star, Wenger disenarai pendek sebagai calon utama bagi menggantikan Sam Allardyce di Everton. David Dein, seorang rakan rapat Wenger yang bertanggungjawab membawanya ke Highbury dari Jepun, bertindak sebagai orang tengah dalam rundingan tersebut. Selain mempunyai hubungan akrab dengan Wenger dan Arsenal, Dein juga rapat dengan Pengerusi Everton, Bill Kenwright dan pelabur The Toffees, Farhad Moshiri. Everton dijangka berpisah dengan Allardyce pada musim panas ini. Wenger dilihat sebagai pengganti yang sesuai walaupun Everton berdepan kesulitan untuk meyakinkannya menyertai kelab tersebut. Pengurus veteran itu hanya akan memutuskan mengenai masa depannya pada hujung musim ini sama ada mahu meneruskan tugas selaku jurulatih atau sebaliknya.