UNAI Emery meminta pemain-pemainnya supaya tidak gentar dengan Manchester City. Pengendali baharu skuad The Gunners itu berharap agar mereka dapat mengatasi City yang bergelar juara Liga Perdana musim ini di bawah pengurusan Pep Guardiola. Pengurus kelahiran Sepanyol itu dilantik secara rasminya menggantikan legasi 22 tahun Arsene Wenger pada Rabu dengan tiga tahun kontrak. Biarpun diberi bajet yang terhad untuk musim depan, bekas jurulatih Paris Saint Germain itu yakin skuadnya boleh melangkaui tahap elit dalam bola sepak English. "Ini adalah objektif kami (mengejar Manchester City). Arsenal merupakan kelab yang hebat dengan personaliti dan identiti tersendiri dan saya percaya mereka telah menunjukkan kepercayaan itu," ujar Emery. "Apa yang kami mahukan supaya tidak ada perasaan takut kepada semua pasukan dalam liga atau Eropah dan objektif kami adalah untuk menjadi yang terbaik dan menewaskan yang terbaik."