PETALING JAYA: Persiapan skuad Bawah 19 Tahun (B-19) tanah air ke pentas akhir sedikit terganggu selepas dua tonggak utamanya terpaksa diketepikan. Penolong jurulatih B-19, Hairuddin Omar memaklumkan, ketiadaan Akhyar Rashid sedikit dirasai menjelang perlawanan separuh akhir Piala AFF B-19 yang sedang berlangsung di Indonesia. "Akhyar pemain utama kita. Sedikit sebanyak terasa ketiadaannya. "Namun ia tidak menjadi masalah besar memandangkan masih ada beberapa pemain yang boleh menggantikan tempat Akhyar. Skuad Bawah 19 Negara "Selain Akhyar, seorang lagi pemain pertahanan, Gerald Gadit telah dihantar pulang pagi ini (Rabu) dan mereka akan menjalani ujian MRI (Magnetic Resonance Imaging) di Malaysia," ujarnya menerusi aplikasi WhatsApp kepada mStar Online pada Rabu. Kedua-dua pemain tersebut mengalami kecederaan ketika aksi sebelum ini. Malaysia yang dibimbing ketua jurulatih Bojan Hodak mara ke pusingan separuh akhir selepas bergelar juara Kumpulan B dengan mengumpul 10 mata, hanya satu tewas dalam empat perlawanan. Manakala naib juara kumpulan, pasukan Myanmar dengan tujuh mata. Hairuddin,38, yang juga bekas pemain kebangsaan berharap, daya ketahanan mental semua pemain berada dalam keadaan baik menjelang pertemuan dengan tuan rumah esok. "Harap pemain tidak gentar bermain di hadapan penyokong-penyokong lawan yang memenuhi stadium nanti," katanya. Indonesia merupakan naib juara bagi Kumpulan A.