PRESIDEN Bayern Munich Uli Hoeness menyambut baik keputusan Mesut Ozil yang ingin bersara dari pasukan Jerman dan mendakwa prestasi pemain tengah itu sudah corot sejak beberapa tahun. Pemain berusia 29 tahun itu mengumumkan bahawa dia ingin berhenti mewakili pasukan kebangsaan secara serta-merta disebabkan oleh kritikan yang dilemparkan selepas muncul bersama Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dalam sekeping gambar. Memetik laporan Goal, gambar itu dirakamkan sebelum Piala Dunia berlangsung. ARTIKEL BERKAITAN: Ozil bersara, "Saya Jerman bila menang, jadi pendatang bila kalah" Gambar kontroversi Ozil bersama Erdogan. Pemenang Piala Dunia 2014 itu diasak oleh media Jerman kerana merakamkan gambar bersama personaliti kontroversi tersebut menjelang kejohanan Piala Dunia 2018 di Rusia. Prestasinya yang merudum di Rusia membuatkan kritikan itu semakin hangat. Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) Reinhard Grindel berkata, Ozil perlu menjelaskan kepada penyokongnya berhubung insiden itu. Sementara pengurus pasukan Oliver Bierhoff berasa jurulatih Jerman Joachim Low akan menyingkirkan Ozil hanya disebabkan oleh gambar tersebut. Ozil menempelak kembali pada Ahad dengan mengeluarkan tiga kenyataan menerusi laman sosial demi menjelaskan gambarnya bersama Erdogan dan satu lagi kenyataan yang menyelar pengkritiknya dan bekas penaja sebelum membuat keputusan tersebut.