suria

Sukan Asia: Sukar sasar pingat untuk bola sepak

Ketua Kontijen Malaysia (CDM) Sukan Asia Jakarta 2018, Datuk Abdul Azim Zabidi (kiri) ketika menjawab pertanyaan pada sidang media selepas pertemuan pegawai Sukan Asia Jakarta 2018 dan pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Wism FAM, Isnin. Turut bersama Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi (kanan).

PETALING JAYA: Aksi ke separuh akhir Sukan Asia 2018 bagi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) mungkin akan tercapai jika diundi bersama kumpulan yang seimbang.

Menurut Chef de Mission (CDM ) Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, jika Malaysia bersama dengan pasukan yang beraksi seperti Piala Asia pada Januari lalu, peluang untuk ke suku akhir agak cerah.

“Ada kemungkinan juga kita ke separuh akhir.  Namun jika diundi bersama dengan pasukan yang tidak beraksi pada Piala Asia, ia agak sukar sedikit.

“Itu pandangan Persatuan Bola Sepak (FAM) sendiri,” jelasnya kepada media selepas perjumpaan  Pengurusan Pasukan Bola Sepak B-23 bersama CDM pada Isnin.

Oleh itu, Azim meminta kepada semua terlibat supaya bersiap sedia untuk mengharumkan nama negara.

“Dari segi persiapan dan jadual perlawanan persahabatan sebelum ke Sukan Asia semuanya kelihatan lancar seperti yang dirancang.

“Saya belum terima senarai akhir pemain dan menurut FAM ianya akan diputuskan pada 30 Julai ini sebaik pemain-pemain yang dipanggil hadir ke kem latihan,” ujarnya.

Sebagai rekod, pada aksi Piala Asia di China, Januari lalu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dalam kumpulan bersama pasukan Arab Saudi, Jordan dan Iraq.

Mereka layak ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah, namun tewas tipis 2-1 kepada Korea Selatan.


Azim, Sukan Asia, B-23

Artikel Lain