suria

Azizulhasni raih emas kedua Piala Trek China

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang menerima suntikan berharga menjelang Sukan Asia di Jakarta-Palembang, bulan depan selepas memenangi pingat emas kedua pada kejohanan Piala Trek China 2018 di Taiyuan, China pada Khamis.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu, yang meraih pingat emas pertama dalam acara pecut semalam, meneruskan kayuhan bertenaganya untuk memenangi emas kedua dalam acara keirin pada Khamis.

Mohd Azizulhasni mencatat masa 13.569 saat untuk menewaskan dua pelumba China, Xu Chao dan Wang Yibo, yang masing-masing memenangi perak dan gangsa selepas ketinggalan 0.568 dan 0.811 saat di belakang pelumba Malaysia itu.

“Saya sangat gembira kerana berjaya berada di prestasi yang dimahukan sebulan menjelang Sukan Asia di Jakarta.

“Kini segala usaha keras sudah dilaksanakan dan sekarang tiba masanya bagi saya menikmati perlumbaan saya untuk dua hari lagi,” kata Mohd Azizulhasni seperti dipetik dalam Instagram beliau; @azizulawangofficial.

Dua lagi pelumba Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis, bagaimanapun gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam kemalangan bersama-sama beberapa pelumba lain. - Bernama

Azizulhasni

Artikel Sebelum

Selangor benam PKNP FC 2-0

Artikel Berikut

Artikel Lain