suria

Selangor benam PKNP FC 2-0

Pemain PKNP FC Fandi Ahmad (jingga), sedang cuba mendapatkan bola sambil dihalang oleh para pemain pasukan Selangor pada Perlawanan Unifi Liga Super 2018 di Stadium Perak pada Khamis malam. - Bernama

IPOH: Selangor berjaya merampas kedudukan kesembilan Liga Super daripada PKNP FC setelah menumpaskan tuan rumah 2-0 di Stadium Perak di sini,  Khamis malam.

Beraksi di hadapan kira-kira 2,000 penyokong, skuad The Red Giants  terlebih dahulu mencemaskan kubu pertahanan PKNP pada minit ketiga melalui tendangan leret penyerang importnya, Rufino Segovia namun ia berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol tuan rumah, Ahmad Asyraaf Omar.

Tersentak dengan serangan itu, PKNP mula mengatur serangan dan pada minit ke-14, ketua pasukannya, Mohamad Hafiz Ramadan nyaris meletakkan pasukan di hadapan melalui satu tendangan lencong di sebelah kiri gawang gol Selangor.

Pada minit ke-38, Selangor berjaya memecah kebuntuan hasil satu serangan balas dari sebelah kiri gawang gol PKNP yang berjaya disudahkan pemain tengahnya, Muhamad Syahmi Safari.

Bersambung babak kedua, Selangor berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-82, menerusi Mohd Amri Yahyah melalui hantaran lintang daripada kanan gawang PKNP yang dilakukan Rufino.

Meskipun PKNP melakukan serangan bertali arus selepas ketinggalan dua gol namun pasukan itu gagal membolosi benteng pertahanan Selangor yang dkemudikan oleh Muhammad Haziq Ridwan. - Bernama

Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain