suria

Ibu jari kaki bekas pemain Spurs berlubang, digigit tikus ketika tidur

BEKAS pemain pertahanan England dan Tottenham, Gary Mabbutt berkata seekor tikus menggigit kakinya ketika dia sedang tidur semasa bercuti di Afrika Selatan.

Mabbutt terpaksa terbang kembali ke United Kingdom untuk menjalani pembedahan dan dimasukkan ke wad selama seminggu.

Bekas pemain berusia 57 tahun itu yang melakukan 16 penampilan bersama England turut menghidap kencing manis.

"Sebelum ini saya beraksi menentang pemain lawan tapi sekarang saya kecundang ditangan seekor tikus," katanya.

Insiden berlaku kira-kira enam minggu lalu ketika dia melawat anak perempuannya yang bekerja di Taman Nasional Kruger.

"Saya sedang tidur ketika seekor tikus tiba-tiba masuk ke dalam bilik tidur dan naik ke atas katil sebelum mengigit ibu jari kaki saya.

"Bahagian ibu jari kaki saya berlubang, tikus itu gigit sehingga ternampak tulang.

"Tikus itu pada mulanya menggigit kaki anak perempuan saya di bilik tidurnya sebelum datang kepada saya.

"Berada di Afrika menyebabkan anda terfikir mengenai ular dan kala jengking," katanya.

Sejam kemudian kesakitan di ibu jari kakinya semakin dirasai selain kakinya turut dipenuhi darah.

Mabbutt berkata dia masih perlu menerima rawatan di hospital setiap hari.

Malah, dia juga perlu menyuntik insulin tujuh kali sehari dan menjalani pemeriksaan darah 10 kali sehari.

Pada 2016, dia hampir kehilangan kakinya dan menjalani pembedahan kecemasan kerana arterinya tersumbat.

Dia kini tidak boleh lagi berlari mahupun menendang bola.

Gary Mabbutt, tikus

Artikel Lain