suria

Ozil tidak layan panggilan atau balas mesej Loew

Loew mendakwa Ozil tidak mempedulikannya. - AP

MUNICH: Jurulatih Jerman Joachim Loew (gambar) berkata, dia tidak diendahkan oleh Mesut Ozil selepas pemain tengah itu tiba-tiba bersara daripada penampilan antarabangsa berikutan gambarnya bersama Presiden Turki Tayyip Erdogan sebelum Piala Dunia di Rusia pada bulan Jun menjadi kontroversi.

Juara dunia 2014 itu dihina selepas tersingir pada Piala Dunia di Rusia yang lalu dan dikatakan antara penyingkiran terpantas skuad negara tersebut dalam tempoh 80 tahun.

Ozil mengumumkan persaraannya daripada kemunculan antarabangsa selepas kembali daripada kejohanan tersebut gara-gara dikritik kerana bergambar dengan Erdogan yang juga disertai oleh rakan senegara, Ilkay Gundogan pada Mei lalu.

Ozil merupakan antara pemain dalam skuad juara bertahan 2014 itu berkata, dia berdepan dengan kecaman bersifat perkauman dan biadap daripada peminat kerana berketurunan Turki.

Loew berkata pada Rabu, dia gagal dalam cubaan untuk menghubungi pemain tengah Arsenal itu dan diberitahu tentang persaraan Ozil oleh penasihat pemain itu.

"Pemain tersebut tidak menghubungi saya. Biasanya pemain akan berjumpa jurulatih sekiranya ingin bersara (daripada pasukan kebangsaan)," kata Loew.

Katanya, selepas menerima panggilan daripada penasihat Ozil, dia cuba menghubungi dan menghantar pesanan kepada pemain tersebut namun tidak dibalas.

Namun, Loew menolak dakwaan Ozil tentang isu perkauman.

"Niat utama saya adalah bersedia melakukan yang terbaik untuk Piala Dunia.

"Isu ini menyebabkan kami kehilangan tenaga tapi sudah tentu ia bukan alasan bagi prestasi pasukan. Ia bukanlah puncanya.

"Dakwaan dia (Ozil) tentang perkauman adalah berlebih-lebihan. Tiada seorang pun dalam pasukan saya bersikap perkauman," kata Loew. - Reuters/Channel News Asia

Artikel Lain