LEGENDA Brazil, Ronaldo menasihati Manchester United supaya bersabar dengan Jose Mourinho susulan khabar angin mengaitkan Zinedine Zidane akan berpindah ke Old Trafford. Mourinho dihimpit tekanan selepas United tewas dua kali berturut-turut kepada Brighton dan Tottenham pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). Pada Jumaat, Mourinho mempertahankan rekodnya dengan mendakwa dia masih lagi salah seorang pengurus terhebat di dunia. Zidane masih belum terikat dengan mana-mana pasukan selepas meletak jawatan selaku pengendali Real Madrid pada akhir musim lalu. Awal bulan ini, laporan di Perancis mendakwa Zidane memasang hasrat untuk berhijrah ke England dan menggantikan Mourinho sebagai pengurus United. Namun ketika ditanya oleh La Gazzetta dello Sports sama ada Zidane layak menggantikan Mourinho di Old Trafford, Ronaldo berkata:"Saya tidak tahu apa yang berlaku di Manchester tetapi sila tunggu sebelum kritik Mourinho." "Dia istimewa dan dia menang banyak trofi." Bekas penyerang Barcelona itu turut memberi amaran kepada Juventus yang akan berdepan United pada saingan Liga Juara-Juara peringkat kumpulan bahawa kehadiran Cristiano Ronaldo tidak memberi jaminan mereka akan cemerlang di Eropah. "(Juventus) sendiri sebuah pasukan yang sudah kuat. "Mereka mara ke final dua kali dan Ronaldo akan memperkukuhkan lagi pasukan itu tetapi Liga Juara-Juara bukan mudah. "Membawa masuk Ronaldo bukan bermakna secara automatik anda akan menang," kata bekas pemain berusia 41 tahun itu.