RIYAD Mahrez menghadiahkan gol kemenangan 1-0 ke atas Tottenham Hotspur kepada pemilik Leicester City mendiang Vichai Srivaddhanaprabha. Srivaddhanaprabha antara lima yang terkorban dalam insiden helikopter terhempas di luar Stadium King Power Sabtu lalu. Bekas pemain Leicester itu mengakui Srivaddhanaprabha adalah orang yang sangat istimewa dalam hidupnya. Pemain Algeria itu antara kunci kejayaan ketika Leicester City menjulang trofi Liga Perdana musim 2016. Mahrez yang kini beraksi bersama Manchester City mengakui sukar untuk tidur selepas mendapat berita kematian Srivaddhanaprabha. "Ia sangat sukar untuk saya. Bos itu sangat istimewa untuk saya. "Selama empat tahun setengah saya menghabiskan masa di sana. Dia seorang yang sangat baik, dan saya sangat, sangat sedih. "Sebab itu apabila saya menjaringkan gol, saya mengangkat tangan ke atas untuknya. Dia sangat baik terhadap saya dan kelab. "Dia juga seperti bapa saya, sangat istimewa. Saya sangat kecewa dan sukar apabila mendengar berita ini. "Saya bersama Leicester dan bersama keluarga mangsa kerana bukan senang dengan situasi ini. Saya sentiasa ingin bermain kerana tahu dia juga mahu melihat saya selalu beraksi. Dia sangat bersemangat tentang bola sepak. "Sukar untuk saya tidur selepas mendapat tahu berita ini - anda perlu cuba menghadapinya tetapi ia sangat sukar," jelas Mehraz. -Dailymail