KUALA LUMPUR: Biarpun hanya dua kemenangan berjaya dicatat dalam 10 pertemuan sebelum ini, skuad Harimau Malaya tetap memiliki kemampuan mencipta kejutan apabila berdepan Thailand pada aksi separuh akhir Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Suzuki 2018. Di atas kertas Thailand yang muncul juara Kumpulan B dengan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan dilihat sebagai pasukan pilihan, namun pengendali PKNP FC Abu Bakar Fadzim percaya Malaysia berupaya mencalar rekod bersih skuad ‘Gajah Perang' itu. Bekas pemain Perak itu berkata tidak mustahil Malaysia mampu meraih kemenangan pada Sabtu ini sekiranya mengambil kira prestasi keseluruhan ditonjolkan anak buah ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe ketika membenam Myanmar 3-0 baru-baru ini. “Pasti ada sedikit kesukaran berdepan Thailand kerana mereka adalah pasukan pilihan. Thailand memiliki kualiti pemain yang baik dan ia dibuktikan apabila kita melihat prestasi terkini mereka yang berjaya memenangi semua perlawanan dengan selesa dalam peringkat kumpulan. “Tetapi Malaysia mampu cipta kejutan. Prestasi pasukan semakin baik dan kemenangan ke atas Myanmar memberi keyakinan dan motivasi kepada pasukan. Kita juga diberi kelebihan bermain di laman sendiri dahulu jadi gunakan ia sebaik mungkin untuk bawa bekalan selesa ke Bangkok,” katanya kepada Bernama. Malaysia akan melayani kunjungan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini dalam aksi separuh akhir pertama sebelum berkunjung ke Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok untuk aksi timbal balik pada 5 Disember. Sementara itu, Abu Bakar berkata kekebalan benteng pertahanan adalah elemen utama yang perlu dititikberatkan untuk mengekang Thailand yang terkenal dengan corak permainan pantas daripada merobek gawang negara. Katanya, barisan pertahanan negara perlu lebih berhati-hati dalam menyerap gerakan serangan lawan selain kekal disiplin daripada membuat kesilapan mudah ketika bertahan. “Kita tidak boleh berikan mereka ruang walaupun sedikit kerana itu akan dimanfaatkan sepenuhnya Thailand untuk menghukum kita. Kita sedia maklum kekuatan Thailand adalah ketika mereka menyerang jadi pertahanan negara perlu kekal fokus sepanjang perlawanan,” tambah beliau. Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan Thailand adalah pada final edisi 2014 menyaksikan Malaysia menang 3-2, namun gagal menjulang piala berikutan keputusan agregat 4-3 memihak pasukan Thailand. Dalam 10 pertemuan terdahulu, Malaysia menang dua, seri dua diikuti tewas enam kali.