suria

STL Champions Cup: Aizat mahu pacu KL Thunder bergelar juara

Pasukan KL Thunder.

PETALING JAYA: Tekong KL Thunder, Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi mahu menjadikan pentas Sepaktakraw League (STL) Champions Cup 2018 yang akan bermula Jumaat ini sebagai pentas terbaik untuk menebus kekecewaan pasukannya dalam saingan STL Premier yang berakhir bulan lalu.

KL Thunder pada satu ketika dilihat berjaya memberikan tentangan sengit kepada Penang Black Panthers dan ATM Guardians namun kehilangan momentum selepas saingan liga memasuki pertengahan musim menyaksikan mereka terpaksa berpuas hati menamatkan cabaran di tempat ketiga dengan 24 mata.

Justeru itu, Aizat tekad memacu pasukan bimbingan Azhar Sarabini itu untuk mencipta gemilang di edisi kedua STL Champions Cup meskipun sedar ianya satu misi yang cukup berliku.

"Bagi saya semua pasukan ada kekuatan tersendiri, masing-masing melakukan persiapan yang rapid an terdapat beberapa pasukan mengambil pemain import daripada pasukan-pasukan yang gagal layak ke STL Champions Cup malah ada juga yang mengambil pemain dari Thailand.

“Tetapi kami tetap mempertaruhkan pemain yang sama kerana inilah pemain yang telah bekerja keras berjuang sepanjang STL Premier dan keserasian serta semangat sepasukan antara kami semua sudah cukup baik. Memang keinginan kami adalah mahu membawa KL Thunder muncul juara dan kami akan berusaha sedaya yang termampu untuk merealisasikannya.

“Kalah menang itu adat permainan tetapi yang penting kami akan tampil dengan satu kualiti permainan yang jauh lebih baik. Saya sendiri sudah tidak sabar untuk turun ke gelanggang dan telahpun melakukan latihan rahsia yang intensif. Saya akan cuba keluarkan semua skil-skil saya nanti dalam memastikan KL Thunder dapat bergelar juara," katanya.

Pemain kelahiran Kelantan ini yang sejak kecil menjadikan ayahnya, Mohd Nor Azmi Mohd sebagai idola dalam dunia sepak takraw, enggan peristiwa seperti edisi tahun lalu berulang sekali lagi.

Ketika itu KL Thunder yang muncul naib juara STL Premier gagal mara ke separuh akhir STL Champions Cup setelah sekadar merekodkan satu kemenangan ke atas PDRM Defenders dalam aksi pertama dan kemudiannya tewas dua perlawanan berikutnya kepada Kelantan Warriors (18-21, 21-14, 13-21) dan wakil Thailand, Manang City Voyagers (18-21, 21-14, 14-21).

Sehubungan itu, Aizat yang turut pernah bermain di posisi apit kanan suatu masa dahulu, berharap dia dan rakan-rakan akan dapat mengekalkan prestasi di tahap terbaik dan segera menemui rentak.

"Cabaran tahun lepas sangat sengit, sama juga kali ini walaupun semua pasukan tempatan. Siapa yang 'menjadi' pada hari pertandingan, pasukan itulah akan menang,"jelasnya.

KL Thunder yang diundi dalam Kumpulan A akan membuka tirai aksi STL Champions Cup dengan menentang Kelantan Warriors pada Jumaat, diikuti naib juara STL Divisyen Satu Sabah Mountaineers pada Sabtu dan juara bertahan Penang Black Panthers pada Ahad.

Sepak takraw, KL Thunder

Artikel Lain