KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan sedang mempertimbang bentuk galakan atau insentif yang boleh diberi kepada pasukan bola sepak Harimau Malaya yang muncul naib juara kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 Sabtu lepas. Timbalan Menteri berkenaan, Steven Sim berkata pencapaian yang ditunjukkan itu adalah hasil latihan dan program yang dijalani pemain sebelum ini. “Walaupun kita tidak dapat menjulang piala itu namun dalam hati seluruh rakyat Malaysia terutama peminat bola sepak, pemain-pemain kita sudah menjadi juara. "Mereka telah menunjukkan prestasi yang cukup hebat dalam kejohanan ini. Bentuk galakan akan diumumkan selepas keputusan mengenainya dimuktamadkan,” kata Sim di lobi Parlimen pada Selasa. Vietnam menjuarai kejohanan itu apabila menundukkan Malaysia dengan agregat 3-2 dalam aksi final yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 11 Disember dan Hanoi pada 15 Disember lalu.