MANCHESTER City memulakan rundingan untuk membawa masuk pemain tengah Real Madrid, Isco. Pemain berusia 26 tahun itu jarang diturunkan sejak Santiago Solari menggantikan Julen Lopetegui sebagai ketua jurulatih, Oktober lalu. Isco hanya diturunkan dalam skuad utama dalam satu perlawanan dan lima lagi perlawanan sebagai pemain gantian. Laporan di Sepanyol mendakwa hubungan Isco dengan Solari tidak boleh diselamatkan lagi. Pemain tengah itu turut diboo penyokong ketika Madrid tewas 3-0 kepada CSKA Moscow di Santiago Bernabeu minggu lalu. City dan Pep Guardiola amat mengagumi bintang Sepanyol itu dan hampir mendapatkan khidmat Isco ketika Manuel Pellegrini mengemudi pasukan itu pada 2013. Namun AS melaporkan City masih lagi berminat terhadap Isco dan sudah menghubungi wakilnya. Isco bagaimanapun masih ada kontrak bersama Madrid sehingga 2022 dan mempunyai klausa pelepasan kontrak bernilai 629 juta pound sterling. Pemain kebangsaan Sepanyol itu masih mendapat tempat di hati Presiden Madrid, Florentino Perez dan laporan mendakwa minggu lalu dia meminta Solari untuk menurunkan Isco dengan lebih kerap. AS mendakwa Madrid akan menuntut bidaan sekitar 90 juta pound sterling dari City jika mahu mereka melepaskan Isco. - Metro.co.uk