SELEPAS berkongsi berita berkenaan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh ingin mencari jodoh, Facebook Harimau Malaya 'diserang' netizen. Ada kalangan netizen yang cuba mencadangkan jodoh pemain bola sepak itu dengan beberapa selebriti termasuk dengan pelakon Rita Rudaini. Ramai juga kalangan netizen mendoakan agar Sumareh bertemu jodoh. “Sebagai seorang saudara, saya mendoakan semoga kamu segera dipertemukan jodoh dan sentiasa dalam lindungan rahmat ALLAH, Amiin,” tulis Fikri. “Semoga ketemu jodoh cepat idolaku Sumareh… Baharu aauumm, sudah beristeri nanti… main bola asyik skor sahaja,” tulis Led Shikamaru . “Adakan sesi temuduga.… Rasanya beratur macam nk beli tiket final... ha ha,” tulis Abi Zai. “Kawan saya ini bujang. Kerja kerajaan, baik. Comel, putih, harta semua sudah lengkap. Yang handsome dan bekerjaya dikehendaki,’ tulis Olien Noor Azlin. “Gegirl sudah mula berangan sudah… Jomlah gegirl..siapa cepat dia dapat,” tulis Haziq Naim. “Komen itu yang baik-baiklah... Nanti dia baca kecil hati tengok sikap Malaysian. Doakan Sumareh dapat isteri yang baik dan solehah… Amin,” tulis Husliza Husin “Kalau ada jodoh... InsyaALLAH, rezeki dia baik-baik sahaja. Moga dipermudahkan Sumareh... Terbaik,” tulis Zamri Zam. Sumareh ketika aksi menentang Vietnam pada aksi final Piala AFF Suzuki, 15 Disember lalu. Semalam, Mohamadou Sumareh berkongsi sekadar menyaksikan rakan sepasukannya dipujuk oleh isteri dan anak-anak selepas dilanda kesedihan tewas kepada Vietnam pada final Piala AFF di Hanoi, baru-baru ini. Ketika saat itu, penyerang kelahiran Gambia itu yang juga pemain naturalisasi pertama negara merasai sedih dan kesunyian. Sumareh, 24, yang sudah mendapat taraf kerakyatan mendedahkan kepada Sukan NSTP bahawa dia berharap dapat mendirikan rumah tangga supaya isterinya dapat menemaninya selepas perlawanan. "Kami semua kecewa kerana tidak berjaya memenangi Piala AFF tapi bagi mereka (rakan sepasukan yang sudah berkahwin), mereka mempunyai isteri dan anak-anak bersama mereka, jadi perasaan mereka kembali ceria selepas bertemu. "Untuk saya, saya sangat kecewa dan tidak ada apa yang bermain di fikiran selain perasaan kecewa di final. "Ibu bapa saya dan dua kakak saya cuba memberikan saya semangat tapi perasaan itu tidak sama (bersama isteri di sisi)," katanya. Sumareh yang mewakili Pahang dalam Liga Malaysia berkata, dia mendapat perhatian seluruh negara terutama peminat wanita selepas menjadi pemain naturalisasi pertama Malaysia. Sumareh yang beraksi cemerlang dalam kempen Piala AFF dalam merencana serangan Harimau Malaya berkata, dia berhati-hati untuk menjalin hubungan dengan seseorang. "Saya tidak mahu wanita mementingkan kebendaan. Saya mencari seseorang yang perwatakan baik dan tahu bagaimana menjaga diri saya dan selalu menyokong saya. "Keluarga saya kuat berpegang kepada agama. Apa yang penting wanita itu perlu jujur dan ikhlas dalam segala perbuatannya," katanya. - Sinar Harian