PESAWAT membawa penyerang Cardiff City, Emiliano Sala mungkin terhempas akibat pembentukan ais pada bahagian sayap pesawat berkenaan. Sala, 28, dalam perjalanan kembali ke Selatan Wales selepas menandatangani kontrak dengan Bluebirds dengan bidaan sekitar 15 juta pound sterling minggu lalu. Dia dilaporkan bertemu dengan bekas rakan dan juga kakitangan pasukan Nantes untuk mengucapkan selamat tinggal sebelum menaiki pesawat ringan itu. Sumber penerbangan memberitahu The Sun bahawa pembentukan ais yang meliputi sayap pesawat dinaiki Sala mungkin menyebabkan pesawat itu terhempas. "Terdapat laporan bahawa pemain bola sepak itu menghantar mesej berkata pesawat bergegar dan pecah. Juruterbang David Ibbotson turut dikhuatiri maut. "Itu tanda-tanda klasik ais berada di bahagian sayap. Pesawat itu mungkin terhempas di atas permukaan air," katanya. Sala dan juruterbangnya masih lagi gagal dikesan dan dianggap terkorban dengan ketua penyelamat mengakui tiada harapan untuk menjumpai mereka dalam keadaan selamat. Cardiff mengesahkan mereka tidak bertanggungjawab mengaturkan pengangkutan untuk Sala. Dalam satu audio mesej yang dihantar menerusi WhatsApp, Sala memberitahu rakan-rakannya bahawa pesawat itu seperti akan terhempas. Pesawat ringan itu diterbangkan juruterbang David Ibbotson, 35, yang berasal dari Utara Lincolnshire. - Mirror.co.uk