OLE Gunnar Solskjaer mendedahkan dia menunjukkan klip gol serangan balas Manchester United ke atas Arsenal terhadap pemainnya sebelum berjaya menundukkan pasukan itu pada aksi Piala FA, awal pagi Sabtu. United menundukkan Arsenal 3-1 menerusi jaringan Alexis Sanchez, Jesse Lingard dan Anthony Martial. Kemenangan itu membolehkan mereka menempah tiket ke pusingan kelima kejohanan itu. Arsenal bermula cemerlang di Stadium Emirates tetapi ketinggalan dua gol selepas United melakukan asakan bertali arus. Pierre Emerick-Aubameyang meletakkan kedudukan 1-2 sebelum tamat babak pertama tetapi sukar bagi mereka untuk merapatkan jurang mata apabila Martial melengkapkan gol ketiga ketika perlawanan berbaki lapan minit. Sebaik tamat perlawanan, Solskjaer mendedahkan taktik serangan balas merupakan kunci utama kejayaan United menundukkan anak buah Unai Emery. Martial meraikan jaringannya bersama rakan pasukan. Malah pemain United turut ditunjukkan klip video jaringan sama sebelum perlawanan termasuk gol Cristiano Ronaldo ketika bersama United pada aksi Liga Juara-Juara, 10 tahun lalu. "Amat menakjubkan apabila kami dapat mara ke peringkat seterusnya. Ia adalah perlawanan yang sukar. "Saya sukar memilih (pemain) sejak saya datang kerana skuad penuh dengan ramai pemain bagus. "Ia bergantung kepada kami untuk memilih taktik dan pemain yang betul. Kami perlu berehat sebelum mengharungi beberapa perlawanan besar. "Namun kami ada 'kaki' yang lebih segar. Hari ini kami kelihatan seperti sebuah pasukan yang lengkap. Kami lebih tersusun. "Kami berusaha keras di bahagian pertahanan dan juga serangan. Serangan balas adalah klasik - Wayne Rooney, Cristiano Ronaldo, Ji Sung-park - kami menjaringkan banyak gol di Arsenal sebelum ini," katan Solskjaer. - Metro.co.uk