suria

Kafa letak harapan tinggi pada Marko Kralijevic

Barisan pemain tempatan dan import pasukan Kelantan memperagakan jersi baharu pada Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Kelantan The Red Warriors Musim 2019 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam Sabtu. - fotoBERNAMA

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) meletakkan harapan tinggi kepada Ketua Jurulatih baharu The Red Warriors Marko Kralijevic bagi membantu pasukan itu kembali beraksi pada saingan Liga Super Musim depan.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata jurulatih kelahiran Jerman itu mempunyai tanggungjawab besar bagi mencapai sasaran pihaknya merangkul trofi Piala Liga Premier musim ini, untuk menempatkan pasukan dalam Liga Super musim 2020.

"Kita sebagai majikan sudah tentu meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada mana-mana jurulatih yang menyertai pasukan bagi mengelakkan sejarah lalu tidak berulang yang menyebabkan kita kehilangan penyokong dan turun liga.

"Pemilihan ketua jurulatih bukan mudah kepada kami, oleh itu Marko perlu menggunakan pengalaman yang dimiliki untuk memyempurnakan taanggungjawab dan kepercayaan yang disandarkan kepadanya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain The Red Warriors di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan malam Sabtu.

Kehadiran Marko yang menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Kafa menjawab teka-teki bagi jawatan utama tersebut selepas persatuan itu gagal mengekalkan khidmat jurulatih musim lalu, Yusri Che Lah.

Mengulas mengenai pemilihan pemain pula, Bibi Ramjani berkata Kafa kini hampir melengkapkan kouta pemain bagi mengalas tanggungjawab pasukan musim ini.

"Kita hanya tinggal seorang lagi pemain import bagi memenuhi empat kouta pemain import dan akan menandatangani seorang lagi pemain asing dalam masa terdekat. - BERNAMA

Kafa

Artikel Lain