PASUKAN penyiasat mengesahkan misi untuk mengeluarkan mayat yang dijumpai di dalam bangkai kapal terbang yang membawa Emiliano Sala sedang dijalankan. Bangkai pesawat Piper Malibu N264DB membawa pemain Cardiff City, 28, dan juruterbangnya, David Ibbotson, 59, telah ditemui di pantai Alderney di Selat Inggeris pada petang Ahad, hampir dua minggu selepas ia dilaporkan hilang. Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) mengesahkan pada Isnin bahawa satu mayat dapat dilihat terperangkap dalam bangkai kapal yang dijumpai kira-kira sedalam 67 meter. ARTIKEL BERKAITAN: Anjing Sala sabar menunggu bintang Cardiff itu pulang Jurucakap AAIB berkata pada petang Selasa: "Kami cuba mengeluarkan mayat. Sekiranya berjaya, kami akan mempertimbangkan kebolehlaksanaan untuk mendapatkan bangkai pesawat. "Keadaan pasang surut air yang kuat bermakna kami hanya boleh menggunakan kenderaan yang dioperasikan secara jarak jauh (ROV) untuk tempoh yang terhad pada setiap hari. "Kami tidak akan membuat kenyataan lanjut sehingga keluarga telah dimaklumkan mengenai perkembangan ini." Tambah jurucakap itu, jika bangkai pesawat diangkat, kemungkinan besar ia akan dibawa ke pelabuhan Inggeris sebelum dipindahkan ke makmal AAIB di Farnborough, timur Hampshire di England. - Metro UK