ATLET negara, Ridzuan Puzi terus mengharumkan nama negara apabila diumum penerima anugerah Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2019. Akaun Facebook rasmi Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan pencapaian atlet berkenaan susulan acara yang berlangsung di Dubai, pada Selasa itu. Anugerah disampaikan Presiden Majlis Paralimpik Emeriyah Arab Bersatu, Mohamed Alhameli dan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Asia, Majid Rashed. Sebelum ini Ridzuan atau lebih mesra disapa Dik Wan cemerlang apabila merangkul pingat emas di pentas sukan Para Asian 2018, malah lariannya turut berjaya memecah rekod dunia milik atlet Rusia sebelum ini. Ridzuan mencatat sejarah peribadi apabila mencipta rekod dunia dalam acara 100m lelaki T36 dan rekod Sukan Asia bagi acara lompat jauh pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta, Oktober tahun lalu.