PEMAIN Kedah berjaya membuktikan bahawa mereka bukanlah skuad 'biasa-biasa' apabila berjaya mengikat JDT 1-1 yang mempunyai lambakan pemain luar termasuk naturalisasi dalam saingan Liga Super pada Sabtu lalu. Keampuhan barisan pertahanan yang dibarisi pemain tempatan juga layak dipuji apabila mereka tidak memberi ruang mudah kepada lawan yang beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia itu untuk membawa pulang tiga mata penuh. Walaupun pemain Kedah kelihatan lebih menerima asakan lawan pada awal perlawanan namun mereka tidak menunggu lama untuk bangkit menyamakan kedudukan dengan usaha berterusan. Berikutan usaha itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak memuji aksi anak didiknya yang disifatkan sebagai pejuang yang dahagakan kemenangan. "Berbanding dengan perlawanan sebelum ini, pemain telah bermain dengan baik sekali dan mereka tidak pernah berhenti berusaha untuk mendapatkan gol walaupun ketinggalan 0-1. "Dengan fokus serta persefahaman yang baik di kalangan pemain, kita berjaya mendapatkan gol penyamaan dan ia datang dari Fernando Rodriduez yang sedang memburu gol peribadinya. "Kelebihan yang ada pada pasukan lawan tidak dijadikan alasan oleh pemain, malah mereka membuktikan Kedah sebuah pasukan yang setaraf," katanya kepada mStar Online. Aidil Sharin memberitahu, beberapa pemain utama dalam perlawanan berkenaan akan direhatkan apabila Kedah menentang Selangor United dalam saingan Piala FA. Jelasnya, ia bagi memberi ruang kepada pemain berkenaan selepas mereka berusaha dengan begitu baik sepanjang 90 minit permainan. "Kekosongan ini akan membolehkan Renan Alves untuk kembali memantapkan barisan pertahanan selepas digantung dua perlawanan selepas menerima kad merah," ujarnya.