TINDAKAN seorang pemain bola sepak amatur sengaja melanggar sekumpulan remaja memakan dirinya sendiri apabila di penjara selama 10 tahun. Lee Taylor,36, memandu keretanya ke arah sekumpulan remaja lelaki yang berusia 14 hingga 19 tahun apabila tewas 5-0 dalam satu perlawanan bola sepak di South Wales. Sebelas remaja itu dilanggar di kawasan parkir kereta selepas bapa kepada dua orang anak yang beraksi bersama Margam FC tewas kepada lawan Cornelly Utd di Bridgend. Sebelum melakukan adegan itu, Taylor berkata ke arah remaja terbabit 'kamu tidak mahu mencari masalah dengan saya'. Malah dia juga cuba mengejar dua remaja hingga ke padang selepas melanggar mereka. Taylor dikatakan bengang dengan sekumpulan remaja yang mengejeknya. Foto: Wales News Service Salah seorang remaja yang berusia 17 tahun cuba melompat ke atas keretanya dan memecah cermin kereta untuk menghalang Taylor daripada terus melanggar mereka. Insiden yang menaikkan darah Taylor itu dipercayai berpunca daripada ejekan kumpulan remaja itu kepadanya selepas perlawanan. Ketika perbicaraan, Taylor tidak mengaku bersalah dan mendakwa dia tidak sengaja melanggar kumpulan remaja itu. Dia memberitahu bahawa tindakannya itu adalah untuk mengelak daripada diserang kumpulan terbabit. Namun pihak juri mengambil masa lima jam 40 minit untuk menjatuhkan hukuman kepada Taylor kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan menggunakan kereta untuk melakukan keganasan terhadap remaja. "Kerana harga diri yang lemah tidak dapat menerima kata-kata yang menyakitkan hati. Anda sedang marah dan memutuskan untuk membalas dendam kepada mereka yang berani mencabar keegoan anda," jelas hakim Williams. - metro.co.uk