BEKAS bintang WWE dan juga model, Ashley Massaro meninggal dunia pada usia 39 tahun. Menurut TMZ Sports, Massaro menghembuskan nafas terakhirnya selepas dikejarkan ke hospital dari kediamannya di Suffolk County, New York. Polis menerima panggilan kecemasan dari kediamannya kira-kira pukul 5.20 pagi Khamis. Punca kematian Massaro masih belum didedahkan tetapi ia tiada kaitan dengan unsur jenayah. Nama Massaro meningkat naik selepas memenangi pencarian Diva WWE pada 2005, pertandingan yang menyaksikannya memenangi kontrak setahun bernilai AS$250,000. Massaro terlibat dengan pertarungan berprofil tinggi termasuk Kejuaraan Wanita WWE menentang Melina di WrestleMania 23. Dia muncul sebagai penghias muka depan majalah Playboy pada 2007 sebelum meninggalkan WWE setahun kemudian. "Kami bersedih dengan berita kematian bekas bintang WWE Ashley Massaro. "Dia beraksi untuk WWE dari 2005 hingga 2008 dan amat disayangi rakan-rakan dan juga peminatnya di seluruh dunia. "Takziah diucapkan kepada keluarga dan rakan-rakannya," kata WWE dalam satu kenyataan. - Mirror.co.uk