suria

Jihin 'Shadow Cat' tekad raih kemenangan di laman sendiri dalam aksi ONE: Masters of Destiny

Jihin bersedia untuk bertemu Torres lawannya dari Filipina 12 Julai ini.

JIHIN 'Shadow Cat' bakal kembali ke kandang untuk bangkit mencari kemenangan selepas tewas pada aksi Februari lalu.

Namun juara dunia wushu itu sedar sebarang kemungkinan bakal dihadapinya apabila diundi bertemu Jomary “The Zamboanginian Fighter” Torres dalam kategori atomweight.

Pun begitu, Jihin yakin bertarung di hadapan penyokong sendiri di Stadium Axiata bagi ONE: Masters of Destiny  pada 12 Julai ini menjadi taruhan untuknya melakukan yang terbaik.

“Saya mahu menampilkan karakter dan versi diri sendiri yang lebih baik.

“Pada perlawanan lalu saya mengalami kekalahan yang tipis, disebabkan keputusan berbagi oleh juri.

“Namun untuk pertarungan kali ini, saya nekad untuk bangkit perbaiki kelemahan sebelum ini dan harap ianya berjalan lancar dan berharap dapat melaksanakannya minggu depan," ujar Jihin selepas latihan.

Sebagai persediaan aksi  di laman sendiri, Jihin dan jurulatihnya Melvin Yeaoh telah meluangkan masa mengkaji corak permainan Torres.

“Dia seorang penyerang. Segala yang dilakukannya adalah untuk menyerang. Oleh itu, adalah sangat bagus untuk berdepan dengan seseorang seperti ini.

“Kami sudah menonton kesemua pertarungannya. Walaupun dia banyak melakukan serangan, saya masih perlu berjaga-jaga dengan kelajuan dan pergerakannya di dalam gelanggang.

Jihin (kiri) ketika aksi bertemu pejuang dari Indonesia tahun lalu.

“Dia mungkin akan menggunakan serangan rahsia pada perlawanan nanti," jelas atlet dari Akademi Ultimate MMA ini.

Kedua-dua pesaing ini mempunyai persamaan dari segi permulaan karier mereka.

Pada usia 21 tahun, pejuang dari Filipina itu melepasi tiga perlawanan pertamanya dengan  mudah, yang menjadikan pertarungan paling menonjol dengan kemenangan 40 saat menentang April Osenio.

Bagaimanapun, dia gagal mengekalkan momentum kemenangannya apabila berdepan petarung yang lebih berpengalaman.

Bagi Jihin pula, dia berhasrat untuk meraih kemenangan awal bagi dua pertarungan yang bakal dihadapinya bulan depan.

“Saya mahu mendapatkan penyudah di saat-saat awal. Namun, saya tidak boleh menjangka bagaimana perlawanan itu akan berakhir, kerana perkara yang sama boleh terjadi kepada saya.

“Saya mahu menamatkan penyudah dan mahu meraihnya kemenangan pada pusingan pertama," ujarnya.

Pun begitu Jihin tidak mahu memandang rendah dengan kebolehan Torres.

"Apa saja boleh berlaku dan tidak boleh terlalu yakin dengan peluang yang ada."

Jihin'Shadow Cat'

Artikel Lain