'PERANG' berbalas kenyataan di antara Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semakin hangat selepas kedua-dua pihak cuba mempertahankan pendirian masing-masing. Terbaharu, PFAM tampil mempertahankan kenyataannya yang kecewa dengan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam kerana menganggap persaturan itu ada agenda tersendiri. "Secara jujurnya kami terkejut apabila beliau menyelar PFAM atas kenyataan yang dibuat, sedangkan beliau sendiri telah bersetuju bahawa masalah tunggakan gaji perlu diselesaikan, malah kenyataan kami tidak pun ditujukan kepada FAM, mahupun MFL (Liga Bolasepak Malaysia). "Ia bukanlah kenyataan melulu, tetapi dibuat setelah kami melalui tempoh rundingan, perbincangan dan beberapa siri follow up bersama pasukan. "Namun begitu, sehingga kenyataan dikeluarkan pada Ahad, 4 Ogos 2019, pemain mengesahkan masih belum menerima bayaran seperti yang dijanjikan," ujar PFAM mengenai isu tunggakan gaji mencecah RM6.4 juta dalam kenyataan pada Selasa. Tambah PFAM, pihaknya turut bersuara memandangkan beberapa pasukan telah berjanji akan membuat bayaran setelah mendapat wang geran hak penyiaran daripada pihak MFL. "Namun begitu, apa yang dikesalkan adalah pihak pasukan tidak membuat bayaran mengikut jadual pembayaran yang sudah dipersetujui. Stuart Ramalingam "Kami kesal, tatkala FAM dan MFL sedang berusaha untuk membawa hala tuju bolasepak negara ke tahap yang lebih baik menerusi F30 dan NEX50, masih terdapat pasukan yang dilihat tidak senada dengan badan berkenaan. "Isu gaji adalah perkara paling fundamental, dan sekiranya ia tidak boleh diatasi, ia akan menjadi penghalang kepada visi FAM mahupun MFL dan inilah kerisauan yang disampaikan dalam kenyataan kami," jelasnya. PFAM turut meluahkan kekecewaan apabila FAM mengugut untuk mengkaji semula kerjasama bersama mereka. "Lebih mengecewakan, apabila beliau (Stuart) mengugut untuk mengkaji semula kerjasama bersama PFAM, dan ternyata ini memberi mesej salah mengenai sejauh mana keikhlasan beliau untuk membantu pemain yang semakin hari semakin ditindas pasukan. "Juga, tuduhan beliau yang menyatakan kami mempunyai agenda tersembunyi adalah sangat berat untuk kami terima memandangkan apa yang kami utarakan adalah isi hati pemain yang hidup mereka terbeban akibat tindakan pihak-pihak yang menjadi punca kepada permasalahan ini. "Kami juga ingin meminta maaf kerana berfikiran sempit seperti yang dinyatakan oleh beliau. Tetapi pemikiran sempit inilah yang menerima panggilan saban hari daripada pemain bertanyakan nasib mereka samada terbela atau pun tidak," ujar PFAM yang berharap Stuart berfikiran terbuka dan senada dengannya dalam mendesak pasukan-pasukan yang terus terusan mempermainkan industri bolasepak kita. Tambah PFAM, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan FAM, mahupun MFL. "Kami sedar kedua-dua entiti ini telah memberikan kerjasama yang baik kepada kami, terutamanya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang selama ini selalu memudahkan urusan kami. "Tetapi, jika kenyataan kami ini menjadi sebab untuk semua pasukan termasuklah pihak FAM sendiri ingin memutuskan kerjasama dengan kami, maka fikirkanlah sejauh mana iltizam dan komitmen yang kita ikrarkan bersama selama ini untuk menjaga hak dan kebajikan para pemain," tambah PFAM. Sebagai rekod, pada Ahad lalu PFAM mendedahkan sebanyak RM6.4 juta tunggakan gaji pemain yang masih belum dijelaskan oleh beberapa pasukan. PFAM menganggap ia adalah bukti betapa industri bola sepak sedang tenat dan adalah simbol sebuah kegagalan urustadbir yang profesional dalam kalangan pasukan di Malaysia. Namun FAM menerusi kenyataan Stuart tampil membidas kenyataan mengenai kenyataan PFAM itu yang disifatkan sebagai umum dan menyeluruh seperti dan tidak bertanggungjawab. Katanya, Perspektif sempit dari sudut pandang PFAM semata-mata tidak boleh dianggap sebagai cara untuk menyelesaikan masalah ini tetapi sebaliknya memerlukan kerjasama dengan kelab dan semua pemegang taruh bola sepak untuk menyelesaikannya. Ianya nampak seolah-olah PFAM seperti ada agenda tersembunyi.