suria

Khairol Zaman teruja Negeri Sembilan Antlers bersaing dalam STL Premier

PEREJAM berbisa Negeri Sembilan Antlers Mohd Khairol Zaman Hamir Akbar mengakui teruja untuk memberi aksi terbaik menjelang Liga Sepak Takraw (STL) musim keenam yang bakal membuka tirai 6 September ini.

Lebih manis buat Khairol Zaman, tahun ini menyaksikan pasukannya Negeri Sembilan Antlers bakal bersaing dalam STL Premier selepas bergelar juara STL Divisyen Satu musim lalu.

"Tak sabar nak main. Namun dalam masa sama kami sedar semua pasukan dalam STL Premier sangat hebat. Kami sasarkan untuk berada dalam kelompok empat terbaik musim ini.

"Dalam pada itu kami juga mahu mencuba nasib meraih kejuaraan awal dalam saingan pertama bertemu juara STL Premier musim lalu Penang Black Panthers dalam aksi Piala Juara-Juara STL.

"Mengenai persiapan, kami menjalani latihan seperti biasa dan yakin dengan skuad sekarang," ujarnya kepada mStar.

Khairol Zaman antara pemain sepak takraw berbisa negara.


Khairol Zaman,25,  sudah lima kali beraksi dalam STL, mendedahkan musim ini jug dianggap lebih menarik kerana pasukan Negeri Sembilan Antlers bakal disertai pemain import.

"Saya dapat rasakan bahang STL semakin panas dengan kehadiran pemain import. Kami ada pemain dari Thailand dan bagi saya ia sudah cukup untuk menguatkan pasukan bersaing dengan pencabar lain.

"Saya dapat rasakan saingan musim baharu nanti lebih seimbang," jelasnya yang juga merupakan pemain kebangsaan.

Khairol Zaman antara 'ayam tambatan' ketika membantu Negeri Sembilan Antlers muncul juara STL Divisyen Satu 2018, sekali gus layak ke STL Premier buat kali pertama musim ini.

Gegaran aksi Sepak Takraw League 2019 kini kembali memukau peminat apabila akan menjelajah ke beberapa gelanggang pilihan musim baharu ini.

STL musim baharu bakal membuka tirai 6 September ini.

Sebagai rekod, pada tahun lalu, Penang Black Panthers muncul juara STL Premier buat musim kedua berturut-turut setelah mengetepikan tentangan sengit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kemudiannya mempertahankan trofi STL Champions Cup, manakala saingan STL Divisyen Satu pula menjadi milik Negeri Sembilan Antlers.

Artikel Lain