KEMAMPUAN Mohammad Immanuddin dan Sungju Park mengendalikan dron dengan aksi memukau membolehkan mereka dinobat sebagai juara bagi kategori masing-masing dalam Liga Dron Asia: Siri Iskandar Puteri yang berlangsung sejak 19 hingga 20 Oktober di Kompleks Sukan EduCity. Sungju Park yang berasal dari Korea Selatan mengungguli kategori Terbuka sekali gus memperoleh hadiah kemenangan RM9,000 manakala pelumba tempatan, Mohammad Immanuddin muncul pemenang bagi kategori Beginner yang menyaksikan dia pulang bersama RM1,500. Ini juga adalah kejohanan lumba dron pertama di Malaysia yang dianjurkan oleh Iskandar Investment Berhad (IIB) menerusi kolaborasi antara Asia Drone League, Iskandar Innovations Sdn Bhd dan EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd. Ketua Bahagian Digital IIB, Mohd Nukman Abdul Rahman meletakkan harapan tinggi agar Liga Dron Asia: Siri Iskandar Puteri mampu menjadi satu kejohanan berprestij bertaraf antarabangsa ada suatu hari nanti. “Pertandingan sebegini adalah medan terbaik untuk mencungkil bakat baharu menerusi platform yang kami sediakan ini malah ramai yang dilihat berpotensi melangkah lebih jauh. "Hasrat kami kini ialah mahu melihat Liga Dron Asia setanding dengan Drone Racing League dan Asia Drone Championship," katanya. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Johor, Dzulkefly Ahmad, menyifatkan penganjuran Liga Dron Asia sebagai langkah ke hadapan dalam mempromosikan Johor sebagai destinasi sukan. “Penganjuran festival bertaraf antarabangsa seperti ini merupakan inisiaitif yang baik dalam konteks sukan dan pelancongan, kerana pada tahun hadapan negeri Johor akan menjadi tumpuan bersempena Sukan Malaysia (Sukma 2020) dan kempen 'Tahun Melawat Johor 2020'. Dalam pada itu naib johan bagi kategori Terbuka dimenangi oleh Kenrick Suyanto Lim dari Indonesia dan membolehkan dia membawa pulang RM4,000 manakala pelumba Thailand, Sakkarin Kongthon sekadar berpuas hati selaku pemenang tempat ketiga dalam kategori sama sekali gus memperoleh RM3,000 manakala pelumba Korea Selatan, Joonweon Choi menamatkan aksi selaku pemenang tempat keempat sekali gus pulang bersama RM2,000. Sementara itu, bagi kategori Beginner menyaksikan tempat naib johan menjadi milik Chawarin Kongthon dari Thailand dan meraih RM1,000 manakala pelumba tempatan, Fitri Reza menamatkan saingan selaku pemenang tempat ketiga bagi memperoleh RM800 dan tempat keempat dengan hadiah RM500 menjadi pelumba negara Singapura, Alvin Yeoh. Liga Dron Asia: Siri Iskandar Puteri juga turut mendapat sokongan daripada Iskandar Innovations Sdn Bhd, EduCity Iskandar Malaysia Sdn Bhd dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).