MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) tampil dengan langkah proaktif untuk membantu barisan atlet Para negara apabila mengedarkan ‘Healthcare Kit MPM’ kepada kira-kira 60 atletnya yang tinggal di sekitar Lembah Klang. Healthcare Kit itu terdiri daripada set perlindungan diri yang mengandungi vitamin C, sanitizer dan topeng muka bagi digunakan oleh atlet para. Menurut Presiden MPM, Datuk Sri Megat D. Shahriman Zaharudin, inisiatif itu diperkenalkan selepas memikirkan ia antara bentuk bantuan yang boleh disalurkan MPM kepada atlet para dan sebagai tanda pihaknya sentiasa menitikberatkan soal kebajikan atlet. Pihaknya turut yakin Healthcare Kit tersebut dapat membantu barisan atlet Para yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan stok topeng muka di pasaran ketika ini. “Pihak MPM amat bersyukur kerana dapat menyerahkan sumbangan Healthcare Kit kepada atlet dan jurulatih yang telah berada di rumah sepanjang tempoh PKP, harapan kami semoga ianya sedikit sebanyak dapat membantu atlet untuk menjaga kesihatan dan mempunyai perlindungan asas yang sewajarnya. “Saya mendengar keluhan ada antara atlet Para berdepan kesukaran untuk keluar sendirian membeli barangan asas seperti sanitizer dan topeng muka, atas sebab itu saya terpanggil menyerahkan Healthcare Kit ini kepada atlet Para. “Apapun, kami di MPM sentiasa mendoakan semua atlet untuk berada dalam keadaan sihat dan dijauhi daripada Covid-19. Saya mohon untuk para atlet menjaga kesihatan supaya kita dapat kembali bertanding di persada sukan pada tahun depan,” katanya. MPM menempah perkhidmatan e-hailing, Grab Car untuk menghantar set perlindungan diri itu kepada enam jurulatih yang telah diwakilkan untuk menyerahkan kepada kira-kira 60 atlet Para di sekitar Lembah Klang. Dalam pada itu, Megat D. Shahriman turut mengesahkan setakat ini tiada atlet Para yang dijangkiti Covid-19 dengan semua atlet tersebut sudah pulang awal ke kampung selepas menerima arahan daripada Majlis Sukan Negara. Untuk rekod, temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 juga telah ditangguhkan kepada tahun depan iaitu pada 24 Ogos hingga 5 September 2021 ekoran penularan virus Covid19 yang sudah meragut puluhan ribu nyawa di seluruh dunia sekali gus wujud kemungkinan tiada pertandingan antarabangsa untuk atlet para lagi pada tahun ini.