BEKAS pemain pertahanan Arsenal, Bacary Sagna berpendapat Arsenal melakukan kesilapan besar sekiranya melepaskan Pierre-Emerick Aubameyang ke kelab lain pada musim hadapan. Penyerang Arsenal itu dikaitkan dengan penghijrahan ke kelab lain berikutan Arsenal gagal untuk beraksi di saingan Liga Juara-Juara Eropah untuk beberapa musim. Kontrak Aubameyang kini hanya berbaki setahun bersama kelab yang berpengkalan di utara London itu. Sagna memberitahu Arsenal tidak mempunyai penyerang setajam Aubameyang sekiranya dia dijual pada musim panas ini. "Dia tidak boleh berhijrah lagi kerana kelab dalam proses untuk membina semula di bawah kendalian Arteta. "Nilai Aubameyang setanding dengan pemain lain yang bernilai £150 juta. Arsenal tidak perlu mencari penyerang baharu jika Aubameyang kekal di Emirates. Ketika beraksi buat Arsenal, Sagna merupakan pemain kesebelasan utama di bawah kendalian Arsene Wenger. "Jika tidak, kesilapan yang sama akan berlaku ketika Arsenal melepaskan van Persie ke Manchester United," beritahu Sagna kepada Goal. Sagna turut mengakui bahawa sebelum ini dia tidak tertarik dengan Aubameyang, namun selepas beberapa musim, dia mula sedar akan peranan yang dimainkan penyerang Gabon itu ketika di dalam padang. "Setahun lalu, ketika pihak media bertanya kepada saya adakah Aubameyang pemain bertaraf dunia, jawapan saya adalah tidak. "Ramai penyokong bola sepak yang berang dengan jawapan saya pada ketika itu. "Setahun kemudian, saya mengatakan ya, dia adalah pemain bertaraf dunia apabila menjaringkan gol demi gol setiap kali mendapat peluang," tambahnya. Sagna beraksi selama 7 tahun di Arsenal sebelum berhijrah ke Manchester City pada 2014. - Daily Mail