LOKOMOTIV Moscow telah mengeluarkan kenyataan bahawa pemain mereka, Innokenty Samokhvalov, 22, telah meninggal dunia ketika melakukan sesi latihan sendirian. Pemain pertahanan tersebut meninggal dunia pada 20 April lalu selepas jantungnya gagal berfungsi. Menerusi sebuah tweet yang dimuat naik oleh akaun Twitter rasmi kelab tersebut, mereka meluahkan rasa simpati terhadap ahli keluarga Samokhvalov. "Kami menerima berita sedih dengan pemergian pemain pertahanan Innokenty Samokhvalov. "Dia meninggalkan seorang isteri dan anak lelaki. Kesha (Samokhvalov) merupakan seorang yang sangat baik dan rajin membantu orang lain. "Siasatan penuh mengenai kemaitiannya masih sedang dilakukan. "Kami ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan rakan-rakan Innokenty Samokhvalov," ujar kelab menerusi kenyataan di Twitter. Dengan penangguhan saingan bola sepak di Rusia berikutan Covid-19, Samokhvalov melakukan latihan sendiri di rumah sewaktu tempoh kuarantin dilaksanakan. Samokhvalolv merupakan pemain bagi skuad simpanan Lokomotiv Moscow, iaitu Kazanka dalam saingan Divisyen 3. Pemain pertahanan tengah tersebut menyertai Lokomotiv Moscow pada 2015 namun tidak pernah membuat penampilan rasmi dalam saingan Liga Russia. Russia mengenakan perintah berkurung sehingga 30 April manakala saingan bola sepak pula ditunda sehingga 31 Mei. - The Guardian