suria

Penyerang Barcelona nafi akan dijual hanya selepas 3 perlawanan

Everton dan West Ham dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Braithwaite.

MARTIN Braithwaite menegaskan bahawa dia akan kekal di Barcelona untuk beberapa tahun selepas dibeli secara mengejut dari Leganes pada Februari lalu.

Penyerang berusia 28 tahun itu dibeli bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Luis Suarez dan Ousmane Dembele selepas dilanda kecederaan.

Namun, baru-baru ini terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa Barcelona akan menjual bekas pemain Middlesbrough tersebut pada jendela perpindahan musim panas ini.

Braithwaite menafikan khabar angin tersebut meskipun terdapat beberapa kelab EPL yang berminat untuk menandatanganinya seperti Everton dan West Ham.

"Saya yakin bahawa saya akan kekal di sini untuk empat tahun setengah lagi. Itu apa yang main di fikiran saya.

"Buat masa sekarang, saya hanya ingin bermain dan memenangi piala kerana itu tujuan saya menyertai kelab ini.

"Ia merupakan cita-cita saya untuk bermain buat kelab gergasi seperti Barcelona yang telah melahirkan ramai pemain-pemain legenda.

"Saya ingin menjadi sebahagian daripada sejarah kelab dan ia menjadi motivasi utama saya ketika di sini," ujarnya kepada ESPN.

Ketika Barcelona kali pertama membuat tawaran kepada Braithwaite, dia tidak memberitahu isterinya sehingga perkara tersebut menjadi realiti.

"Selalunya saya akan beritahu isteri tentang semua perkara yang berlaku, tetapi dia hanya tahu tiga hari selepas saya menandatangani kontrak bersama Barcelona," tambahnya.

Hanya tiga penampilan setakat ini bersama Barcelona, Braithwaite masih lagi belum menjaringkan gol termasuk perlawanan ketika bertemu Real Madrid yang menyaksikan pasukannya tewas 2-0. - Daily Mail

Artikel Lain