THIBAUT Courtois memberitahu bahawa Barcelona tidak sepatutnya dimahkotakan sebagai juara La Liga musim ini sekiranya saingan liga dibatalkan. Barcelona yang kini gah sebagai pendahulu liga dengan berkelebihan dua mata mengatasi Real Madrid selepas 27 perlawanan berkemungkinan besar ditabalkan sebagai juara sekiranya baki saingan liga tidak dapat diteruskan berikutan pandemik koronavirus. Penjaga gol Real Madrid, Courtois berharap bahawa saingan La Liga kembali bersambung secepat mungkin kerana perebutan kedudukan takhta liga buat masa ini adalah terlalu sengit. "Kami berada dua mata di belakang Barcelona dan tidak mustahil untuk kami muncul sebagai juara. Kami agak tidak bernasib baik sekiranya saingan liga dibatalkan lebih awal. "Sebagai contoh di Perancis, terdapat dua pasukan yang disingkirkan. Mereka mungkin terselamat dari zon penyingkiran sekiranya saingan diteruskan. "Di Belanda pula, tiada pasukan yang tersingkir serta ditabal sebagai juara. Agak malang buat pasukan yang berada di divisyen lebih rendah untuk beraksi di liga utama. "Saya faham sekiranya Liverpool ditabalkan sebagai juara kerana mereka sememangnya layak. "Tetapi saya tidak boleh terima sekiranya Barcelona muncul sebagai juara. Mereka tewas dan seri dalam dua perlawanan bertemu Real Madrid pada musim ini. "Kami adalah pasukan yang lebih baik berbanding mereka meskipun ketinggalan sebanyak dua mata," ujarnya. Saingan bola sepak di Sepanyol, England, Itali dan Jerman dijangka akan bersambunng semula dalam beberapa minggu lagi setelah ditangguhkan akibat penularan Covid-19. - Goal.com Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!