PEMAIN pertahanan Manchester City, Kyle Walker mendakwa dia telah diganggu dan tidak berasa selamat di rumahnya sendiri setelah dituduh melanggar perintah berkurung (lockdown) untuk mengunjungi keluarganya. Bulan lalu, Walker dilaporkan melanggar perintah berkurung yang dikuatkuasakan kerajaan United Kingdom apabila menganjurkan parti yang melibatkan dua pekerja seks di kediamannya. Terbaharu, pemain berusia 29 tahun itu 'tertangkap' selepas membuat perjalanan sejauh 86 batu untuk mengunjungi kakak dan ibu bapanya, yang tinggal di lokasi berasingan. Walker bagaimanapun, mempertahankan tindakannya dan mengatakan keluarganya terjejas gara-gara pencerobohan privasi oleh jurugambar. "Saya merasa seolah-olah telah lama berdiam diri. Melihat artikel terbaru yang diterbitkan mengenai saya dan keluarga, saya merasa seolah-olah saya tidak mempunyai pilihan selain untuk membincangkan perkara ini secara terbuka," kata Walker dalam satu kenyataan. Jelas Walker, dia menemui kakaknya untuk memberikan hadiah sempena hari jadinya, dan kemudian berkunjung ke rumah orang tuanya untuk mengambil makanan masakan ibunya. "Menjadi perhatian umum sebagai atlet profesional tidak membuat anda kebal terhadap perkara ini. Sungguh menyedihkan. Saya faham jika orang marah kepada saya, tetapi penting untuk orang ramai memahami kehidupan saya dengan lebih baik. Terima kasih kerana meluangkan masa untuk mendengar luahan saya." - Metro.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!