PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menamakan Cristiano Ronaldo sebagai bintang yang beliau idamkan untuk dibawa masuk kembali ke Old Trafford. Prestasi Ronaldo bersama United menyinar di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson, memenangi tiga gelaran Liga Perdana dan trofi Liga Juara-Juara sebelum dia 'angkat kaki' dan menyertai Real Madrid pada 2009. "Terdapat beberapa pemain yang pernah saya beraksi bersama dan mahu mereka berada dalam pasukan sekarang. "Saya berminat dengan Roy Keane tetapi tak pasti jika dapat mengurusnya. "Saya juga pernah beraksi dengan Cristiano Ronaldo dan dia adalah pemain terbaik di dunia bersama Lionel Messi sejak 10 hingga 15 tahun lalu. "Anda pasti mahu menggunakan khidmatnya dalam pasukan anda," katanya. Masa depan bintang Portugal itu bersama Juventus menjadi tanda tanya selepas gergasi Serie A itu tersingkir pada saingan Liga Juara-Juara ketika bertemu Porto minggu lalu. Menurut laporan media, kelab Turin itu dikatakan sedang mempertimbangkan untuk melepaskan Ronaldo pada hujung musim ini kerana masalah kewangan. - Express.co.uk Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!