KEPULANGAN penyerang prolifik, Romelu Lukaku yang hanya menunggu masa menjalani ujian perubatan bersama Chelsea merupakan satu kesilapan besar, kata pemain legenda, Stan Collymore. Bekas penyerang kebangsaan England itu dalam kolum tetapnya di Mirror.UK berkata, keputusan kembali membawa masuk Lukaku ke Stamford Bridge hanya semata-mata mahu memperkuatkan skuad The Blues bagi mempertahankan trofi Liga Juara-Juara adalah sesuatu yang tidak munasabah.Menurutnya, adakah pemain yang sudah berusia 28 tahun itu mampu mengembalikan magis sepertimana penampilannya bersama beberapa kelab terkemuka dunia sebelum ini. "Kita sedia maklum dengan prestasi Lukaku sepanjang penampilannya bersama pasukan terdahulu seperti Manchester United dan Inter Milan. Namun adakah di usia sekarang dia sebenarnya sesuai untuk kembali semula ke Chelsea? "Sebagai seorang yang sering melihat dia beraksi di padang, saya sudah boleh menjangka bagaimana kualiti permainan Lukaku dalam tempoh awal 10 hingga 15 minit permainan."Sejujurnya, saya tidak boleh memastikan bahawa prestasi Lukaku yang sekarang setara seperti penampilan awalnya dahulu," katanya. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Tambahnya lagi, pihaknya juga tidak tahu apakah percaturan pengurus Chelsea, Thomas Tuchel terhadap Lukaku untuk musim ini. Nada yang sama juga disuarakan bekas tonggak pertahanan Chelsea, Glen Johnson yang menyifatkan Lukaku tidak sesuai untuk beraksi di pentas Liga Perdana England. Jelasnya, pada usia sekarang, Lukaku lebih sesuai untuk beraksi di liga yang berbeza dan mampu untuk lebih menyerlah di sana, lapor Mail Online. "Walaupun Lukaku merupakan seorang yang cergas dan tegap, pada saya Liga Perdana England sekarang akan menjadi medan yang lebih mencabar buatnya untuk bersaing dengan pemain yang lebih muda dan berbakat. "Mungkin kembalinya Lukaku merupakan satu kesilapan untuk Chelsea... namun kita lihat saja nanti bagaimana perjalanan musim ini serta adakah pelaburan mereka berbaloi untuk mempertahankan trofi Liga Juara-Juara," ujarnya. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!