PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer nyata kurang berpuas hati dengan tindakan penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez hingga menyebabkan Bruno Fernandes gagal menyempunakan penalti. Pada insiden yang dimaksudkan itu, Fernandes dipaksa menunggu sehingga dua minit untuk mengambil sepakan selepas pemain Aston Villa mengerumum kawasan sepakan. Malah Martinez dilihat menuding jari ke arah Cristiano Ronaldo seolah-olah mahu kapten Portugal itu yang mengambil sepakan penalti. Bagaimanapun, sepakan Fernandes melambung tinggi untuk ‘menghadiahkan’ kegagalan kedua buat pemain itu sepanjang 23 kali diamanahkan mengambil sepakan penalti. Kegagalan Fernandes itu menyaksikan United tewas 0-1 di Old Trafford dan Aston Villa memperoleh jaringan tunggal menerusi Kourtney Hause. “Saya tidak suka cara mereka datang kepada pengadil dan cuba mempengaruhinya. Ia jelas membuahkan hasil buat mereka namun bukan sesuatu yang elok untuk disaksikan,” kata Solskjaer. Drama pada lewat permainan itu meletakkan Solskjaer dalam kedudukan sukar untuk menentukan siapa yang lebih layak mengambil sepakan penalti. “Kamu mungkin boleh buat andaian mengenai reaksi pemain. Kamu tahu Bruno sudah melakukannya dengan baik. “Dia seorang pemain yang miliki kemampuan untuk menyempurnakan penalti. Inilah bola sepak dan ada kalanya ia tidak berlaku seperti yang diharapkan. “Ia akan jadi tajuk utama (Ronaldo lawan Fernandes). Bruno seorang pemain yang hebat dan Cristiano juga sama, sudah menjaringkan banyak gol menerusi penalti. – Daily MailDapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI