suria

Verstappen sudah kebal dengan permainan psikologi Hamilton

VERSTAPPEN (kiri) dan Hamilton sangat berbeza dari segi keperibadian dan gaya hidup. — Agensi

PENGURUS Red Bull, Christian Horner menyatakan bahawa Max Verstappen sudah kebal dengan permainan minda Lewis Hamilton dalam perlumbaan Formula Satu (F1).

Menurutnya, Lewis suka berbuat demikian dalam segala aspek untuk memberi tekanan kepada Verstappen.

ARTIKEL BERKAITAN: "Hanya Jorginho yang layak..." Chiellini sokong bintang Chelsea untuk Ballon d'Or

ARTIKEL BERKAITAN: Bale alami kecederaan hamstring, terlepas beraksi kelayakan Piala Dunia

"Bagaimanapun Verstappen tidak pernah mempedulikannya.

"Dia adalah pemandu yang paling santai di litar dan sentiasa semangat untuk setiap perlumbaan," katanya.

Tambahnya, pada saat ini Verstappen juga telah berjaya membuktikan bahawa dia adalah pemandu terbaik dari segi kepantasan.

Pelumba veteran F1, David Coulthard juga menjelaskan bahawa kedua-dua pemain itu juga sangat berbeza dari segi keperibadian dan gaya hidup.

"Verstappen lebih privasi tentang kehidupannya berbanding Hamilton yang terbuka.

"Bagaimanapun apabila di atas litar mereka mempunyai semangat yang sama iaitu meraih kejayaan dalam perlumbaan," katanya.

Tambahnya lagi, kedua-dua mereka merupakan pelumba terbaik dan pada masa sama paling minimum melakukan kesalahan di litar.

Katanya lagi, Hamilton juga berupaya mengawal tekanan psikologi ketika perlumbaan dan berdepan dengan saingan sengit dalam kejuaraan dunia 2021 sepanjang musim.

Legenda F1, Gerhard Berger menjangkakan bahawa pelumba asal Belanda itu akan menang dalam perlumbaan yang akan datang.

"Dengan semua tekad dan tumpuannya, Verstappen sepertinya tahu apa yang dia perlu lakukan, "

"Walaupun Hamilton lebih berpengalaman, Verstappen akan terus belajar dan meningkatkan prestasinya," jelasnya. — Agensi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain