ATLET terjun wanita kebangsaan, Nur Dhabitah Sabri berjaya merangkul pingat emas pertama negara dalam kejohanan Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam pada Ahad Menerusi pencapaian cemerlangnya itu, Nur Dhabitah berharap ia akan menjadi motivasi kepada barisan atlet Kontinjen Malaysia untuk mencipta kejayaan. Menerusi saingan final acara 1 meter (m) papan anjal individu di Pusat Akuatik My Dinh, Dhabitah mengenepikan saingan rakan senegara Kimberly Bong yang menamatkan acara tersebut di tempat kedua sekali gus menyumbang pingat perak untuk Malaysia. Katanya, sumbangan tersebut diharapkan dapat memberi semangat kepada atlet lain untuk bekerja keras mendapatkan pingat emas kerana cabaran yang dilalui bukanlah mudah. Terdahulu, terjunan emasnya gagal disaingi oleh penerjun lain apabila Dhabitah menyempurnakan kesemua tujuh terjunan dengan kemas untuk mengumpul mata keseluruhan 290.45. Kemenangan tersebut diharapkan mampu dituruti oleh kesemua 612 atlet negara yang menyertai temasya Sukan SEA kali ini bagi bersaing dalam 37 jenis sukan. Sukan SEA Vietnam akan berlangsung dari 12 hingga 23 Mei ini. - Awani Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI