MALAYSIA memulakan kempen Piala Thomas 2022 dengan langkah kanan apabila skuad lelaki negara berjaya membenam England 5-0 pada pusingan pembukaan kumpulan D, pada Isnin. Jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia mengatur rentak yang cukup memberangsangkan apabila menumbangkan Toby Penty pada aksi yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok, Thailand. Zii Jia memperoleh kemenangan straight set 21-10 dan 21-15 dalam tempoh 36 minit. ARTIKEL BERKAITAN: Hebat! Zii Jia tundukkan juara dunia Kemenangan Zii Jia diteruskan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya bangkit dari kekalahan pada set pertama 19-21 ke atas pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy sebelum memenangi dua set seterusnya 21-15, 21-16. Sementara itu perseorangan muda negara, Ng Tze Yong yang turun pada aksi ketiga mengesahkan kemenangan buat Malaysia apabila mencatatkan skor 21-16 dan 19-21 dan 21-11 ke atas Johnnie Torjussen. Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang turun sebagai beregu kedua negara kemudian meraih mata keempat selepas menewaskan gandingan Rory Easton-Zach Russ dengan 21-13, 21-9. Perseorangan ketiga, Leong Jun Hao melengkapkan kemenangan skuad negara menerusi kemenangan ke atas Cholan Kayan 21-11, 21-18. Skuad lelaki negara akan bertemu Amerika Syarikat esok sebelum berdepan Jepun dalam aksi terakhir kumpulan Rabu ini. - SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI