suria

Dakwaan rogol: Peguam wakili Kathryn Mayorga diarah bayar pampasan lebih RM2 juta kepada Ronaldo

Mahkamah Amerika Syarikat menggugurkan dakwaan kes rogol terhadap Ronaldo pada awal Jun lalu. Foto: Getty Images

PEGUAM Cristiano Ronaldo telah meminta Hakim Mahkamah Amerika Syarikat agar memerintahkan peguam kepada bekas model, Kathryn Mayorga, membayar semula sejumlah £516,000 (RM2,752,689) kepada bintang bola sepak berkenaan.

Dalam dokumen mahkamah yang diterbitkan pada Rabu, peguam Ronaldo, Peter Christiansen, meminta Hakim Jennifer Dorsey untuk mengarahkan peguam Mayorga, Leslie Mark Stovall, bertanggungjawab secara peribadi dan membayar sejumlah wang berkenaan kepada anak guamnya.

"Memandangkan salah laku yang terang-terangan, Stovall harus bertanggungjawab secara peribadi untuk memastikan Ronaldo dibayar balik kerana terpaksa mempertahankan diri daripada kelakuannya yang menjengkelkan dan niat jahat," kata Christiansen, seperti yang dilaporkan oleh Associated Press.

Mereka dijadual memfailkan jawapan kepada mahkamah selewat-lewatnya 8 Julai.

Terdahulu awal Jun, Hakim Jennifer Dorsey menggugurkan dakwaan kes rogol terhadap Ronaldo, 37, oleh Mayorga yang merupakan bekas model dan guru.

Mayorga mendakwa dia dirogol bintang Manchester United itu di dalam bilik hotel di Las Vegas pada tahun 2009.

Ronaldo menafikan dakwaan berkenaan dan tidak pernah didakwa.

Pemain antarabangsa Portugal itu menegaskan hubungannya dengan Mayorga atas dasar suka sama suka. - Mirror

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain