suria

Peninju Muay Thai umum bersara awal, rasa bersalah selepas lawannya mati kena siku

Phanphet dan Durand bertempur dalam satu kejohanan pada 15 Julai lalu.

ANTHONY Durand mengumumkan pengundurannya daripada sukan tinju Muay Thai berikutan kematian lawannya Phanphet Phadungchai.

Phanphet dan Durand bertemu dalam perlawanan di Stadium Tinju Tentera Udara Thupatemi di wilayah Pathum Thani, tengah Thailand, pada 15 Julai lalu.

Dalam perlawanan itu, hentakan Durand menyebabkan lawannya rebah ke lantai sebelum kepalanya terhantuk kuat pada kanvas.

Peninju kelahiran Thailand itu dikejarkan ke Hospital Bangkok yang mana dia didapati mengalami pendarahan otak akibat hentakan.

Phanphet kemudiannya meninggal dunia dan Durand mengambil keputusan bersara sebagai peninju selepas mengetahui berita mendukacitakan itu.

Doktor pada mulanya berkata Phanphet telah memasuki "keadaan mati otak yang tidak dapat dipulihkan", tetapi peninju itu bertarung nyawa dengan bantuan alat pernafasan selama sembilan hari sebelum meninggal dunia pada Sabtu malam..

ARTIKEL BERKAITAN: Langsung tak cam! Peninju ikonik banyak berubah selepas bersara

Durand mengumumkan pengundurannya di Facebook, memberi penghormatan kepada keluarga Phanphet.

"Saya sedar saya tidak bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Ia satu kejutan besar, mungkin dia menerima banyak pukulan sebelum pertarungan itu.

"Ia tidak dapat diterangkan tetapi ini adalah takdir dan saya tidak mempunyai hak untuk menentangnya. Saya hanya berharap dia bersemadi dengan aman sekarang dan saya komited kepada ibu, isteri dan anak perempuannya untuk menyumbang secara kewangan sehingga mereka memberitahu saya bahawa mereka tidak memerlukan pertolongan lagi.

"Ini adalah pertarungan ke-28 saya tetapi ia adalah yang terakhir. Saya tidak akan kembali... Terima kasih kepada semua orang yang telah berada di sana sejak kemunculan pertama dan saya minta maaf kerana saya tahu bahawa beberapa orang telah banyak berkorban untuk melihat saya di puncak," ujarnya.

Kematian Phanphet menggegarkan negara Thailand dan merupakan satu kejutan besar kepada sukan itu.

Phanphet sebelum ini beraksi untuk pasukan kebangsaan Thailand dan berjaya memenangi pingat perak pada temasya SEA 2019 di Filipina. - Daily Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain