ROY Keane mengkritik Erik ten Hag kerana tidak memasukkan Cristiano Ronaldo ke dalam pemilihan pemain kesebelasan utama untuk menentang Manchester City. Bintang sensasi itu juga tidak diberikan peluang untuk diturunkan sebagai pemain gantian sehingga wisel penamat perlawanan ditiup. Dalam perlawanan derby itu Manchester United dibelasah jiran sebelah dengan keputusan mengaibkan 6-3. Keane berpendapat jika khidmat Ronaldo tidak lagi diperlukan, dia sepatutnya dilepaskan ketika jendela perpindahan musim panas yang lalu. "Manchester United ketika ini hanya menunjukkan rasa tidak hormat ke atas Ronaldo. Dia sepatutnya dibiarkan pergi sebelum jendela perpindahan ditutup," ujarnya. Personaliti televisyen, Piers Morgan juga sependapat dengan menyelar alasan Erik ten Hag untuk meletakkan Ronaldo di bangku simpanan kononnya ingin 'menghormati' pemain itu. "Bayangkan anda meninggalkan Ronaldo di bangku simpanan ketika perlawanan terpenting musim ini, memberikan keutamaan kepada orang lain sebagai pemain gantian tatkala pasukan anda sedang diratah. "Ten Hag adalah seorang yang bodoh sombong dan cara dia melayan Ronaldo adalah sangat memalukan," katanya dalam nada marah. - Dailystar Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI