suria

Apabila lelaki main bola jaring, taktikal lain macam! Jurulatih tepis persepsi sukan pilihan golongan ‘lembut’

Sukan bola jaring lelaki masih kurang mendapat perhatian dalam masyarakat.

JARANG sekali kita dengar kaum lelaki lincah bermain bola jaring.

Tapi realitinya sukan yang biasanya dimainkan golongan wanita itu turut mendapat tempat kaum adam.

Baru-baru ini berlangsung Kejohanan Bola Jaring Terbuka Telaga Walk 2022 pada 29 dan 30 Oktober di Kompleks Sukan Lada, Langkawi.

Kejohanan Bola Jaring Terbuka Telaga Walk 2022

Corak permainan pasukan bola jaring lelaki juga dikatakan lebih agresif dan tangkas.

Menurut jurulatih bola jaring lelaki untuk pasukan Goldens, Muhamad Zulhilmi Tajudin, setiap sukan adalah untuk semua tanpa mengira jantina.

"Jika orang mempertikaikan bola jaring adalah untuk golongan wanita tapi kenapa wanita boleh bermain futsal dan bola padang?

"Cuma bola jaring masih belum diiktiraf untuk kaum lelaki. Kami bergerak kerana minat. Sebenarnya setiap negeri mempunyai pasukan bola jaring lelaki sendiri lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur," ujarnya kepada mStar.

Lelaki ada taktikalnya tersendiri dan lompatan yang sangat tinggi ibarat macam main bola keranjang.

MUHAMAD ZULHILMI TAJUDIN

JURULATIH PASUKAN GOLDENS

Menangkis pandangan stereotaip segelintir netizen yang menganggap sukan bola jaring ini bersifat feminin, jurulatih berusia 31 tahun meminta orang ramai datang melihat sendiri bagaimana golongan lelaki beraksi secara profesional.

"Melihat kepada pasukan saya, ada yang sudah berkahwin dan paling menarik, isteri mereka turut memberi sokongan penuh kepada suami.

"Jadi jangan pernah anggap bola jaring adalah sukan wanita kerana lelaki lagi laju kalau bermain sukan ini. Lelaki ada taktikalnya tersendiri dan lompatan yang sangat tinggi ibarat macam main bola keranjang.

"Saya harap agar lebih ramai yang buka mata untuk sukan ini dan jangan judge sukan bola jaring ini untuk golongan lembut sebab ini adalah sukan," kata Zulhilmi.

Pemain bola jaring lelaki, Zulhairi Suiono, sedang beraksi ketika di Kejohanan Bola Jaring Terbuka Telaga Walk 2022

Zulhairi Suriono sedang beraksi ketika di Kejohanan Bola Jaring Terbuka Telaga Walk 2022.

Sementara itu pemain pasukan Goldens, Zulhairi Suriono, 27, berkata penglibatannya dalam sukan bola jaring didorong oleh minat.

"Pasukan Goldens ditubuhkan untuk beri peluang kepada mereka yang berminat dengan sukan ini namun tiada pasukan. Semua ahli pasukan kami mempunyai keinginan untuk bermain, jadi kita tubuhkan Goldens.

"Walaupun pasukan ini baru sahaja ditubuhkan, tapi kami sanggup terbang jauh dari Kuala Lumpur ke Langkawi untuk menyertai kejohanan bola jaring.

"Kami mencari peluang untuk merasai sendiri pengalaman menyertai kejohanan bola jaring yang besar dan beraksi menentang pasukan berpengalaman," katanya.

Bagi individu yang pernah aktif dalam sukan bola jaring wanita, Nur Shawalina Noritan, 35, dia mengalu-alukan lebih ramai pemain bola jaring lelaki bagi memeriahkan sukan ini.

"Memang tak dapat disangkal pasukan lelaki lebih hebat daripada wanita. Kita yang dah tak main bola jaring pun tiba-tiba rasa nak bermain balik.

"Saya sebagai pengurus pasukan bola jaring lelaki, ramai kawan-kawan yang tanya ada ke team lelaki... saya jawab ada dan ajak mereka untuk turun melihat sendiri bagaimana pasukan lelaki beraksi dalam kejohanan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain