PENYERANG Perancis Kylian Mbappe viral selepas dia tergelak besar melihat Harry Kane gagal menjaringkan gol ketika mengambil sepakan penalti dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2022. England berdepan Perancis bagi menempah tiket separuh akhir di Stadium Al Bayt, Qatar, awal pagi Ahad. Dalam pertandingan itu Perancis mendahului pada minit ke-17 menerusi gol Aurelien Tchouameni yang memanfaatkan assist Antoine Griezmann. England berjaya menyamakan kedudukan pada babak kedua, minit ke-54 melalui tendangan penalti Harry Kane. Perancis bagaimanapun kembali mendahului apabila memperolehi gol menerusi tandukan Olivier Giroud pada minit ke-78, juga umpan daripada Griezmann. Tendangan Harry Kane tersasar jauh dari gawang. The Three Lions memiliki peluang menyamakan kedudukan pada minit ke-81 setelah Theo Hernandez melanggar Mason Mount di kotak penalti. Bagaimanapun, penalti yang diambil Kane pada minit ke-84 itu tidak senasib dengan tendangan pertamanya. Tendangan Kane melayang jauh di atas gawang Lloris. Kegagalan Kane dalam penalti itu menyaksikan Mbappe, bintang Paris Saint-Germain itu tergelak besar melihat tendangan Kane seperti 'menembak burung'. Reaksi Mbappe ini viral di media sosial. "Reaksi Mbappe untuk kegagalan Harry Kane," tulis ESPN FC sambil berkongsi foto Mbappe ketawa. Walaupun begitu, Mbappe menjadi pemain Perancis pertama yang menenangkan Kane setelah wisel penamat dibunyikan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI